Antara Bumi dan Marikh

Antara Bumi dan Marikh

Semalam admin ada dapat cadangan dari seorang pembaca yang berbunyi begini

Buat perbincangan pasal atmosfera Bumi dan Marikh. Sama ke tak.

Hari ni kita akan bincangkan serba sedikit mengenai itu. Lagipun sekarang ni banyak desas desus usaha untuk berpindah ke Marikh yang kita dengar disebabkan permukaannya yang hampir serupa dengan Bumi dan juga bukti kewujudan air di planet tersebut suatu ketika dahulu. Tetapi adakah planet Marikh ini sesuai untuk diduduki?

Bercakap mengenai atmosfera kedua-dua planet, atmosfera Bumi mempunyai 78% nitrogen dan 21% oksigen. Manusia bergantung kepada oksigen untuk hidup dan Bumi kaya dengan itu. Sementara itu, atmosfera Marikh adalah sangat tipis berbanding dengan bumi (kurang dari 1% tebal atmosfera bumi) dan juga sangat toksik kerana mengandungi 95% karbon dioksida dan hanya 0.4% gas-gas lain termasuk oksigen. Di Bumi, lapisan atmosfera yang tebal akan menghalang sinaran ultraungu yang dihasilkan oleh Matahari. Hal ini penting bagi manusia kerana ia dapat mengelakkan kesan berbahaya terutamanya kanser kulit apabila didedahkan terlalu lama. Di Marikh, lapisan atmosfera yang sangat nipis tidak akan dapat menapis sinaran ultraungu tersebut.

Sumber: European Space Agency

Disebabkan lapisan atmosfera Marikh yang tipis ini jugalah perbezaan suhu antara siang dan malam jauh berbeza dengan di Bumi kerana ia tidak berupaya memerangkap haba dari Matahari. Perbezaan suhu siang dan malam di Marikh secara puratanya mencecah 70°C. Selain itu, tekanan atmosfera di planet Marikh adalah di bawah Amstrong’s limit iaitu 100 kali lebih rendah dari Bumi, di mana manusia tidak akan boleh hidup tanpa memakai sut tekanan kerana pada tahap ini air (termasuk darah) boleh mendidih pada suhu bilik. Perbezaan-perbezaan ini membuktikan atmosfera Marikh adalah jauh berbeza dari atmosfera Bumi, dan usaha untuk merubah Marikh supaya menjadi seperti Bumi (terraforming) amat sukar kerana selain atmosfera yang melampau, pembolehubah yang lain seperti permukaan yang beradiasi, tanah yang toksik, ribut pasir dan jarak Marikh sendiri yang sedikit jauh dari Matahari menambahkan lagi kesulitan.

Oleh itu, jagalah Bumi anda dengan baik. Jangan buang sampah merata, jangan bakar hutan sesuka hati, kurangkan penggunaan bahan kimia yang akan merosakkan lapisan ozon, peluk pokok kuat-kuat dan cakap terima kasih sebab beri oksigen. Sayangilah Bumi Anda.

Zerocchi

Meminati bidang astronomi dan angkasa lepas sejak kecil. Gemar berkongsi perkara-perkara mengagumkan berkenaan alam semesta dalam bahasa yang santai dan mudah difahami.

0 0 vote
Article Rating

Tinggalkan Komen

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments